Sunday, March 6, 2011

Imbauan Kenangan Semalam

Dunia ini umpama suatu tempat persinggahan yang sementara dan sudah pasti suatu hari nanti giliran kita akan tiba untuk meninggalkannya sama ada dalam keadaan rela atau tidak. Yang telah pergi, sudah pasti tidak akan kembali lagi. Rasa sebak di dada membuatkan diri ingin meluahkannya di dalam coretan ini. Keberadaan di perkampungan orang membataskan diri untuk menghubungi sanak-saudara di kampung halaman. Mujur gerak hati berkata, "lekas, hubungi keluarga di kampung". Kata hati terdetik lagi apabila mendengar khabar bahawa nenek saudara telah pergi. Hanya doa dapat diri ini sampaikan.

Mungkin hari ini, kita berasa sangat bersyukur kerana kita masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan pelbagai corak dan gaya hidup manusia. Tidak kira kita sedang bergembira atau sedang bersedih, kita haruslah sentiasa bersyukur kerana masih ada yang sayang kepada kita dan DIALAH TUHAN YANG SATU...

Mengimbau kenangan lalu bersama insan tersayang ini, sudah pasti membuatkan diri ini sebak. Insan ini begitu baik, mungkin inilah dikatakan takdir dan semua itu adalah ketentuan daripada-Nya.

Mengimbau kenangan semalam,
Membuatkan diri ini berasa sangat gembira,
Di samping kaum keluarga yang begitu akrab,
Timbul perasaan kasih sayang di dalam hati.

Ketika kita masih tersenyum,
Rasa gembira terpancar pada wajah,
Kehadirannya begitu berharga,
Tidak langsung terlintas atau terbayang
hidup tanpanya,
Dengan keberadaannya,
sudah pasti memberi ruang untuk
kita menumpang kasih
walau hanya seketika.

Tetapi hari ini,
Insan itu telah pergi,
meninggalkan kita buat selamanya,
Namun mungkin itu sudah takdir daripada-Nya,
Dan ketika itu,
Kita hanya boleh berserah serta mendoakan
agar dia bahagia di samping-Nya.

Nukilan : Stane
06/03/11
6.51pm